Wednesday, March 3, 2010

BELIA PERKASA KEMPEN SUKAN MALAYSIA DI MELAKA



MELAKA - Larian Obor Sukan Malaysia Ke-13 (Sukma) yang bermula kelmarin dilihat menyemarakkan lagi kempen promosi dan publisiti temasya berkenaan yang bakal berlangsung di negeri ini Jun depan.

Pengarah Bahagian Sahabat Belia, Jabatan Ketua Menteri, Mohd Nizam Omar berkata, biarpun ada pihak yang mendakwa kempen promosi itu masih kurang menyengat namun peranan yang dimainkan masyarakat belia dilihat mampu membantu menjayakan kempen tersebut.

Beliau yang juga Pengerusi Gerakan Belia 4B (GB4B) Negeri berkata, langkah aktif yang dimainkan belia khususnya GB4B menampakkan usaha golongan terbabit memastikan penganjuran di Melaka nanti berjaya.

“GB4B Jasin dan Sungai Rambai telah mengatur gerak dengan menyertai Konvoi Promosi ke Johor dan Pahang pada pertengahan Disember lalu.
“Kami melihat sambutan dan maklum balas daripada belia di sana amat positif dengan masing-masing menyokong penuh usaha ini memastikan penganjuran di Melaka nanti berjalan dengan lancar,” katanya ketika ditemui di Pejabat GB4B Negeri di Jalan Hang Tuah, semalam.

Mohd Nizam berkata, pada awal April depan, GB4B Masjid Tanah akan melakukan ekspedisi berkereta api dari Tampin sehingga ke Perlis.

“Untuk tujuan itu seramai 50 pemimpin belia dari setiap daerah dijangka turut serta dan di dalam kereta api nanti kita akan edar brosur dan penerangan mengenai atur cara Sukma 13 serta venue pertandingan yang bakal dijalankan.

“Di samping itu, Majlis Gerakan Belia Negeri Melaka (MGBM) akan melancarkan gerakan bagi menarik penyertaan belia setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bekerjasama dengan Jabatan Belia dan Sukan Negeri,” katanya.

Beliau berkata, belia terbabit akan menjalankan kempen di setiap kawasan dan daerah masing-masing bagi menyemarakkan lagi sukan itu nanti.

“Dalam pada itu, kita turut mengharapkan kerjasama yang tinggi dari pihak Sekretariat Sukma 13 dengan sama-sama menjayakan kempen promosi ini dengan golongan belia.

“Baru-baru ini, sewaktu kita jalankan program sehari bersama GB4B di Jasin, pihak terbabit juga banyak bekerjasama dengan membawa maskot Sukan Malaysia ke-13 dan mengedarkan brosur,” katanya
(petikan sinar harian - edisi sukan)

No comments:

Post a Comment